Friday, January 28, 2011

Cara Memperbanyakkan Susu ibu


Kengkawan, ini adalah sebahagian dariapada kaedah dan cara yang aku dengar dan ada sesetengahnya yang aku amalkan untuk memperbanyakkan air susu.
Pertama sekali adalah minda kita sendiri. Jangan sesekali kita berasa susah hati atau memikirkan bahawa susu kita tidak cukup untuk diberikan kepada bayi. Apabila hal ini terjadi, secara automatik..otak akan memberi respon kepada produksi pengeluaran susu. Pengeluaran susu akan menjadi kurang apabila kita sendiri yang merangsangnya.
Keduanya adalah corak pemakanan kita.Banyakkan makan makanan berkhasiat semasa berpantang dan selepas pantang.
Antara yang aku lakukan adalah minum susu. Aku mengamalkan meminum susu Anmum Breastfeeding. Dari anak pertama sehingga anak kedua..aku tetap mengamalkannya.
Kemudiannya petua ini sedara aku dapatkan dari seorang tokey Farmasi. Suatu hari dia ke kedai untuk mencari ubat yang boleh menambahkan pengeluaran susu nya..setelah di tanya pada tokey tersebut (seorang Apek) dia cakap macam ni na " haiyaa..lu apa susah..kalau mau banyak susu..lu banyak makan ikan la..." . Susah tu sedara aku meniru apek cina ni cakap, siap buat aksi lagi semata-mata nak bercerita pada aku. Jadi dia pun mencubala petua Apek tersebut, alhamdulillah..memang berjaya. Maka aku pun turut mengamalkan nya.Sebab tula..aku boleh habiskan 2 ekor ikan sekali hadap.
Petua yang lainnya adalah Makan sayur daun kuchai. Petua ni aku dapat dari seorang jururawat semasa melahirkan anak pertama. Semasa melahirkan anak pertama, aku melalui proses caserean, jadi memang body tak sedia untuk mengeluarkan susu. Tetapi..mak aku tak berani bagi aku makan daun kuchai tersebut..kerana dia bimbang daun itu bersifat sejuk. Jadi..terpulangla pada korang kalau nak try semasa berpantang.
Kaedah yg seterusnya....adalah mengurut di bahagia atas badan untuk melancarkan proses pengeluaran susu. Tetapi aku tak melalui proses urutan ini kerana apabila bidan datang dan pegang..dia kata tak perlu diurut dah..susu aku dah banyak.
Yang terakhirnya..setiapkali selepas baby menyusu..pastikan korang perah sisa yg masih ada..sebabnya..apabila 'uncang'tersebut telah kosong..kilang susu akan lebih aktif menghasilkan susu.Maka, semakin kerap diperah atau dikosongkan..semakin banyak susu yang dihasilkan.
Sebenarnya banyak lagi kaedah dan cara yg org amalkan untuk memperbanyakkan susu.Selagi benda tu tak memudaratkan dan membebankan..bolehla cuba. Yang penting..ibu-ibu yang komited untuk menyusukan baby secara eksklusif perlula tenang dan relaks semasa menjalankan operasi memerah.Kalu boleh elakkan mengambil kafein secara berlebihan..kerana kafein bertindak menyingkirkan air dari badan..sedangkan badan memerlukan air untuk mengahasilkan susu.

Thursday, January 27, 2011

Susu Ibu untuk Firas

Stylo mama
Cooler Bag

Ais

Pam

Alhamdulillah..harini 27 Jan 2011..maknanya usia Firas dah 2 Bulan 17 hari, dan selama tempoh ini..Aku masih berjaya menyusukan Firas secara eksklusif. semasa aku mengandung..aku dah mula terfikir untuk menyususkan baby selagi aku mampu.Aku sampaikan hasrat yang terbuku kat hati ini pada encik suami.Alhamdulillah..dia amat bersetuju. Maka aku pun mula la membuat carian kat internet ni berkaitan hal penyusuan susu ibu. Alhamdulillah..maklumat yg ada..cukup banyak..dan aku juga bertanyakan pada sahabat-sahabat yang telah melaksanakan penyusuan sepenuhnya.
Selepas tu..aku mula servey produk untuk aku gunakan bagi memudahkan proses mengepam dan menyimpan. Pada mulanya aku tertarik pada set medela..tetapi harganya memang mahal. Aku juga ada mendengar..proses mengepam tersebut kadangkala menyakitkan. Ada yg berhenti separuh jalan . Jadi selepas berbincang dengan suami, kami bercadang mencari yg lebih murah , jika aku gagal dalam impian nak susukan baby sepenuhnya..maka takla merugikan.
Maka selepas puas servey..kami memilih set Anakku (Sebijik cam gambar di atas. Aku beli pada harga RM69.90). Selepas ada pam..perlu la ada botolnya , Aisnya..cooler bagnya. Jadi..kami pun berpusing-pusing kat kangar ni..memang tak jumpa cooler bag dan ais tu..maka penyelesaiannya kami pun membuat belian secara online dari SARAKIDS.
Memula aku gunakan pam tu..memang agak sukar.tetapi lama kelamaan..bila aku mula memahami kaedah menggunakannya..proses mengepam menjadi lebih mudah dan tidakla menyakitkan seperti yg aku dengar. Semasa di ofis,kengkawan amat memahami..aku akan mengepam 2 kali sehari. Paling minimum aku boleh dapatkan 3 Oz, dan maksimanya sehingga 6 Oz untuk sekali pam.Alhamdulillah..murah rezeki Firas.
Kalau korang ada niat nak susukan baby sepenunhya..terutama sekali dapatkan persetujuan dari suami.Maknanya..kalau mereka bersetuju..pasti mereka akan menyokong dan membantu kita mempermudahkan proses tersebut. Kadangkala terjadi juga pengasuh yang tak bersedia untuk melancarkan lagi proses ini. Alhamdulillah..aku tak mengalamai masalah ini kerana emak aku yang menjaga Firas dan menyokong apa yang aku lakukan. Ayah aku pun sokong..tu yang best tu. Jadi..aku bertekad..selagi aku mampu..aku akan menyusukan Firas secara eksklusif sehingga berusia 6 bulan.
Kepada kengkawan..meh kita susukan baby dengan sepenuhnya, kerana..susu ibu adalah yang terbaik untuk si kecil.

Monday, January 24, 2011

Danish..Kasut sekolah..& Baju Sekolah..



Minggu ni dah masuk minggu ke4 Danish berada di Darjah 1. Alhamdulillah..Danish takda masalah ke sekolah..maklumla..dia dah duk kat PRA sekolah selama 2 tahun. Jadi dengan bangga nya dan sedikit bongkak..dia cakap darjah satu lagi senang dari PRA sekolah.Maklumla..mingu-minggu pertama ni cikgu cuma mengajar yg basic ja.Tulis ABC..123 dan melukis ja.Haa..maka inilah masanya Danish nak berlagak..lepas ni..tak tahu la aku. Aku bukan nak cita hal bongkak nya dia berada di tahun 1, tetapi bertapa aku sakit mata memandang baju dan kasut sekolahnya setiapkali balik dari kerja.

Setiap pagi aku pakaikan dia baju sekolah yang putih lagi bersih..kasut sekolah..aku pastikan kapurnya rata di seluruh permukaan. Tetapi..bila balik keja..apa yg aku nampak..baju nya dipenuhi lukisan abstrak bewarna kelabu atau sedikit kehitaman.Seolah -olah kengkawannya dengan seikhlas hati menjadikan bajunya papan putih untuk diconteng. Kasut sekoalah pula..pakai sehari sahaja..sudah bertukar kehitaman.sepertinya dia melalui jalan tanpa tar..sedangkan dari rumah..sehingga ke dalam kelas semuanya bertar dan bersimen.

Jadi...terpaksalah aku berhempas pulas mencuci baju dan kasut sekolahnya.Sudahla tangan aku ni spesis alergik.Aku alah pada sabun...terutama sabun basuh baju.Jadi untuk elakkan tgn aku mengelupas..dan berdarah..maka..aku akan sapu sabun mandi di baju Danish.Aku akan gosotkan sabun mandi yg jenis ketul tu..kat tempat kotor.Gosot sehingga tanggal kotoran degil yg teramat tu..pastu..baru aku rendamkan ke dalam clorox. Haa..lepas rendam agak-agak sejam camtu..aku pun tuangla set baju sekolah tu ke dalam mesin basuh.nasib mesin basuh tu takda masalah alergik.Kalau tidak..aku gigit jari la..Nasib taktik aku mencuci tu menjadi.Tetapi entahla berapa lama baju tu boleh bertahan kalau setiap minggu berendam ngn si clorox tu.

Menurut kata mak mertua aku..apaila sampai ja dalam kelas..dia letak beg kat kerusi..maka bermulalah operasi Danish & geng. Berlari lari di dalam kelas..buat aksi super hero..selagi bayang cikgu tak muncul..selagi itulah mereka menjadi super hero. Ini baru Danish sorang...lepas ni Firas pula..entahla bagaimana pula aksinya nanti.

Wednesday, January 19, 2011

Suntikan Yg perlu diambil ketika berusia 2 bulan

Disebabkan Firas baru ja lepas ambil suntikan untuk 2 bulan,meh aku cerita jenis suntikan yang telah diambil. Aku pun baca benda ni di http://www.baiboo.com.my/.


Hep B 2nd = Hepatitis B
* Diberikan sebanyak 3 kali.Kali pertama semasa baru dilahirkan.Kalau terkena jangkitan akan
menggangu fungsi hati.

DTP 1st = Diphteria, Tetanus, Pertussis
* Dos ini diberikan untuk mengelak penyakit DIFTERI , TETANUS, dan PERTUSIS

** DIFTERI = berpunca dari kuman CORYNEBACTERIUM DIPHTHERIAE (sebut sendiri la
yer) antara kesannya iaitu batuk dan suara serak.Kekadang membawa kepada masalah pernafasan (nafas berbunyi) sehingga wajah boleh bertukar kebiruan.

** TETANUS = Berpunca dari bakteria CLOSTRIDIUM TETANI ,berisiko membawa kematian
Jangkitan boleh berpunca dari luka. Gejalanya seperti kejang otot rahang,rasa sakit dan kaku
di leher,bahu atau punggung.Rasa kejang ini juga boleh merebak ke perut,lengan atas dan paha. Perawatannya adalah dengan memberi antibiotik.

** PETUSIS = Berpunca dari bakteria BORDETELLA PERTUSSIS.Kesannya membuatkan
pengidap batuk kuat,demam ringan.Batuk tersebut boleh berlanjutan sehingga 3 bulan.

Hib 1st = Haemophilus Influenza type B
* untuk mengelakkan jangkitan pada hidung dan tekak. Ianya juga boleh merebak ke paru-paru

OPV 1st = Oral Polio Vaccine
* sekarang ubat ni dah tak diberikan secara oral lagi (titik lam mulut baby) tetapi dah diberikan secara suntikkan.Tak silap aku namanya bukan OPV lagi. Dos ini untukmengelakkan penyakit Polio.

Jadi secara keseluruhan..semua suntikan ni perlu kita ambil untuk baby.Mereka adalah tanggung jawab kita. Semoga apabila kita mengambil dos-dos yang telah ditetapkan, kesihatan anak-anak kita akan lebih terjamin. Insyaallah..kita cuba berbuat yang terbaik.

Tuesday, January 18, 2011

2 Bulan 8 Hari





Hari ini adalah hari pertama Firas berjumpa makcik Maria. Sebelum ni suntikan dan pemeriksaan bulanan dilakukan di klinik kesihatan Sungai Padang iaitu di kampung tumpah darah ku. Jadi pagi tadi aku cuba menjadi pengunjung pertama di klinik Makcik Maria.Sebelum pukul 8.oopg aku dah pun sampai bersama Firas..tetapi malangnya..kami menjadi orang kedua .Tetapi ok lagi..sebabnya Makcik Maria dan Ilya bekerja.Tak perlu la kami menunggu lama sangat.
Hari ni sepatutnya Firas kena mengambil suntikan 2 bulan.Tetapi kami dah bawa Firas ke klinik swasta.Suntikan diambil kat sana.Sebab utama aku ambil suntikan di klinik swasta kerana tak sampai hati nak tinggalkan Firas bersama mak aku apabila aku ke pejabat.Dah la sakit kena cucuk..pastu kena minum botol pula..dan ditinggal pula bersama mak tok..kesian anak ibu. Nanti kalau Firas demam ..ibu kena ambil cuti...jadi..untuk elakkan segala kemungkinan tu..kami bawa Firas ke klinik swasta pada hari sabtu.Malam tu memang dia demam sikit. Tidur pun tak nyenyak.Mungkin dia lenguh kaki tempat cucuk. Pukul 2Pg aku suapkan ubat demam yang dibekalkan.Alhamdulillah..esoknya dah ok.
Hari ni umur Firas 2 Bulan dan 8 hari..berat dia sekarang 5.5KG.Alhamdulillah..hasil penyusuan ibu sepenuhnya. Dari segi perkembangan , Firas semakin mudah tersenyum bila di usik dan ketawa pun dah pandai. Firas juga semakin ramah..kalau kena gayanya..memang dia akan 'menyembang' walaupun kami tak faham sepatah pun.
So bulan depan Firas akan ditimbang lagi. Semasa 3 bulan juga ukuran tinggi akan diambil sekali lagi beserta sekali lagi suntikan. Aku memang tak sampai hati tengok dia kena suntik, tetapi ini semua untuk kebaikan.Jadi..kena la amik dan ikut masa yg ditetapkan. Semoga Firas semakin sihat dan sentiasa menceriakan kami seisi keluarga.

Friday, January 14, 2011

Sesi Berpantang Kaedah Aku.




Ok..dah selesai bab mengandung..selesai bab beranak..muncul pula bab berpantang...Bab ni la yang ramai orang pompuan mengeluh bila mengenangkannya. Sebenarnya..aku pun ada part yg aku suka , dan ada part yg aku tak berapa suka.Tetapi mengenangkan untuk kebaikan diri sendiri juga..maka...aku ikut ja.Kalau aku tak ikut..sure mak aku tunjuk muka tak puas hati...heheheh...

Tempoh berpantang pada aku bermula apabila selesainya proses bersalin.Tiada lagi air ais atau air sejuk kosong.Semua air yg aku minum mesti direbus dan dalam keadaan suam. Mak aku tak benarkan aku minum air kosong yang dah sejuk.Mak aku tidak menyekat aku minum air seperti sesetengah orang..cuma katanya, janganla terlalu berlebih-lebihan.Air penting untuk mengembalikan kesihatan badan dan memudahkan proses pembuangan.Paling penting..kalau kurang air..dari mana pula nak datang susu. Bab pemakanan pula..aku tidak dibenarkan makan sayur-sayuran yang di anggap sejuk..jadi..semasa di dalam pantang, aku hanya makan sayur lobak. Ikan pula..mak aku tak benarkan aku makan ikan yang akan menimbulkan rasa gatal dan ikan yang isi dan perutnya bewarna hitam. Jadi aku banyak makan ikan gelama tengkerong. Ikan kembung pun aku makan juga..tapi hanya ikan yang masih kelihatan baru.Itupun selepas 2 minggu aku berpantang.Daging dan ayam pun aku makan. Mak aku selalu panggang, buat masak asam atau masak berlada. Buah -buahan yang aku makan cuma oren..itu pun selepas 2 minggu berpantang. ketika menghamiri 3 minggu berpantang..mak aku sediakan buah nenas.Tujuan makan nenas adalah untuk mencuci darah-darah kotor yang masih ada .Tetapi mak aku cakap..buah nenas tak sesuai dimakan ketika tempoh berpantang hampir tamat..kerana risau darah tak berhenti. Entahla..aku pun tak pasti..tapi takda salahnya aku mengikut.

Dalam tempoh berpantang..bertungkulah acara yang paling aku malas.Entahla kenapa..tapi aku malas sesangat.Mak aku pula amat rajin memanaskan tungku tu untuk aku. Kalau dia tak sempat buat..pasti adik-adik aku atau suami aku yg disuruhnya membakar tungku kesayangan aku tu. Pagi-pagi lagi..dalam pukul 7pg macam tu..mak dah sedia membawa tungku panas kepada aku..adeh..nak tak nak..kenala aku mengambilnya.Maka..bermulalah acara pagi dalam suasana aman dan damai. Kalau time ni baby terjaga dari tidur..aku amat suka..heheheheh..aku boleh lepaskan tungku utk seketika..bagi baby minum susu yang kekadang membuatkan aku lelap bersamanya. Pernah terjadi..aku meletakkan tungku di bawah perut, ketika aku menyusukan baby secara tidur. Aku boleh terlelap..dan terjaga apabila aku rasa ada sesuatu yg memeritkan di bahagian perut. Padan muka aku..merah terbakar perut aku..esoknya..naikla satu gelembung indah sebesar ibu jari di perut tu.Fuhh...pedih wooo.. Tetapi peluang tidur bersama tungku ni jarang terjadi..sebabnya..selepas mak serahkan tungku pada aku..dia akan pastikan ada seseorang yg jaga baby.Dia tau..aku akan menipu nanti.

Proses bertungku ni aku lakukan 4 kali sehari. Memula sekali semasa baru bangun tidur..kali kedua selepas mandi pagi..ketiganya selepas mandi petang...(mandi di waktu petang jgn terlalu lewat, 4.30 petang adalah selewat-lewatnya ) last sekali acara bertungku adalah sebelum tidur.Apabila menghampiri 44hari..bilangan bertungku tu semakin berkurangan.Last sekali cuma tinggal 2 kali sehari.Aku suka sangat bila ianya semakin berkurangan.Tetapi bertungku juga ada kedahnya..tak boleh main hantam sahaja.Kalau silap caranya..tak membawa kesan yg terbaik kepada badan.Jadi..bertanyalah pada orang-orang tua cara dan kaedahnya.


Berurut pula..aku buat 3 hari berturut..Fuhh..ringan badan apabila dapat berurut 1 body.Hilang lenguh-lenguh badan.Lepas tu pengeluaran darah nifas juga menjadi semakin lancar.Soal berbarut pula ..aku mula pakai barut pada hari keempat macam tu. Jadi..selepas mandi pagi..aku akan bertungku..selepas batu tungku tu dah tak rasa panas sangat..aku akan terus memakai barut pula. Jadi semasa pakai barut..perut masih terasa panasnya..sedap sangat rasa.Sebelum bertungku..pastikan sapu minyak dulu di perut..lepastu masa nak pakai barut..aku sapu pula krim barut. Barut ni aku buka semasa nak mandi petang..selepas mandi petang dan bertungku...aku pakai semula.Kekadang..aku terus pakai sampai tidur malam.


Disebabkan aku dah tembam..maka dalam pantang memang aku agak mengawal kuantiti makanan yg aku amik. Sarapan pagi aku adalah selepas mandi pagi..iaitu sekitar jam 9.00pagi. Aku cuma sarapan air kopi o panas dan biskut(kekadang mkn apom).Cecah ngn air kopi..fuhh..sedap dan nikmat. Sekiranya aku terasa lapar ...sekitar jam 11 pg camtu..aku akan minum susu anmum breast feeding bersama biskut juga.biskut kegemaran aku adalah Jacobs Cream crakers.Pukul 12.00-12.30 tgh adalah masa aku makan nasi .Nasi panas..(mak tak benarkan aku makan nasi yg dipanaskan semula ). Selepas mandi petang..aku minum kopi dan biskut lagi..my feberet..kopi O pekat dan panas. Jam 7.00 - 7.30 mlm..masa makan malam..nasi putih dan lauk yg dibenarkan. Jam 10.00mlm..sekiranya aku belum tidur,aku masih mencari kopi O dan biskut. Adik aku cakap aku dah gila pada kopi..sebabnya semasa mengandung..aku alah pada kopi.Tak boleh minum..jadi apabila dah boleh minum..aku minum sepuasnya. Aku juga mengambil nasi dalam kuantiti sederhana..tapi aku boleh habiskan 2 ekor ikan dan semangkuk sayur lobak.Inilah diet aku sepanjang 44 hari. Hasilnya..aku puas hati..Dah panjang berjela la pula karangan aku nih.


Jadi selepas habis berpantang..aku boleh rasa hasilnya.Aku rasa sihat dan segar.Pastu..semasa dlm pantang..jgn susah hati. Jgn fikir yg bukan-bukan.Semua tu boleh mempengaruhi kesihatan fizikan dan mental kita.Gunakanlah tempoh berpantang untuk merehatkan diri sebaiknya..sebab..lepas pantang dah takda can dah nak dilayan macam tu. Ini adalah cara aku berpantang. Setiap orang ada perbezaannya..cuma yang pasti..apa yg dilakukan adalah untuk kebaikan kita juga.


Thursday, January 13, 2011

NONA ROGUY vs SENDAYU TINGGI



Haaa...ni satu lagi bab penting semasa berpantang. Aku agak keciwi gak bab ni. Apabila aku disahkan mengandung..benda pertama yang aku servey adalah penjagaan semasa berpantang. Sebab utamanya...mudah untuk aku kumpul duit dan beli ubat yang aku nak.Selepas puas aku servey kat tenet ni..dan bertanya pada rakan-rakan..akhirnya aku memilih Nona Roguy (NR).

Semasa melahirkan Anak sulung..aku gunakan set Sendayu Tinggi (ST), Sebab utama aku memilih ST kerana melihat hasil penurunan berat badan yang begitu banyak. Cara pengambilan ubatnya pula takla terlalu menyusahkan.Semua dalam bentuk pil. Sebelum aku mengandungkan Danish..berat aku sekitar 48KG..dan semasa aku 'melaporkan' diri di hospital jumlah berat aku amat mengkagumkan iaitu 69KG. Aku memang benar-benar berjaya mengembangkan badan. Peningkatan adalah sebanyak 21KG. Apabila Danish disahkan sembuh dari Demam kuning, baru aku mula makan segala pil ST tu. Bilangan pil yang perlu diambil agak banyak juga...tapi aku tak la mengikut bilangan yang ditetapkan. Sebab utamanya badan aku tak dapat menahan kesan panas dari ubat tersebut.Begitu juga dengan Danish..sebab dia minum susu aku. Dari segi pengeluaran susu pula..memang ok.Alhamdulillah..susu banyak.Selepas aku habis berpantang, berat aku kembali kepada 50KG. Maknanya aku berjaya menanggalkan 19KG dari badan ni dalam masa 2bulan. Jadi..Produk ST ni memang boleh menurunkan berat badan..cuma agak panas bagi aku. Untuk orang lain mungkin ok sahaja, sebab body setiap orang berbeza.

Untuk anak kedua..aku menggunakan Nona Roguy (NR). Produk NR adalah dalam bentuk pil dan uncang untuk direbus. Bagi aku, kaedah pengambilan NR juga mudah..makan selepas sarapan pagi..bilangan pil bergantung kepada kesesuaian pengguna. Pek uncang pula ada dua jenis..satu untuk direbus dan diminum bersama madu.Rasanya sedap..macam teh ja..puas hati sangat sebab proses pembuangan angin dari badan amat mudah.Baby juga sentiasa membuang angin. Masalah kembung perut agak kurang la. Satu uncang lagi adalah untuk cuci tempat luka atau dicampur dengan daun inai dan lain-lain daun dibuat air mandian. Produk NR juga ada lulur,krim barut dan minyak utk urut. Ok..semasa aku disahkan mengandung..berat aku 58KG..heheh..dah gumuk. Last semasa masuk wad berat aku amat mengkagumkan, iaitu 72 KG. Peningkatan sebanyak 14KG.Fuhhh semangat...memang makan tak ingat dunia. So..selepas habis tempoh berpantang..berat aku tinggal 54KG. Penurunan sebanyak 18 KG. Yang bestnya...berat aku kurang dari sebelum mengandung. Sehingga harini aku masih mengambil produk NR iaitu PHYTONATAL. Semoga berat aku terus turun lagi sehingga sekurang-kurangnya 50KG (suami aku nak 48KG...hishhh...boleh ker ni?).

Selain ubat-ubatan ni..cara pengambilan makanan dalam tempoh berpantang juga kena jagala.Tak boleh nak mengharap pada ubat 100%. Amalan mengurut, bertungku dan berbarut juga penting.Disebabkan kali ni aku bersalin normal..maka dapatlah aku merasai semua tu sepenuhnya. Tapi sebenarnya penat juga nak bertungku ni..mak aku bagi aku bertungku 4 kali sehari. Fuhh...memang mencabar. Aku pernah tertidur masa bertungku di awal pagi ..hahahhaha...melecur perut.Nanti aku buat coretan pengalaman di dalam proses berpantang pula.

Tulisan aku kat atas tu cuma pengalaman peribadi aku ja. Jangan pula korang jadikan rujukan pula..sekadar bahan bacaan pengalaman dahla ya.Sebabnya setiap orang berbeza..jadi..kesan setiap ubat juga berbeza.Apapunn..kedua-dua jenis ubat tu ok..memang boleh turunkan berat badan dan buatkan badan segar semasa berpantang. Bila kita segar dan sihat..proses berpantang akan menjadi lebih mudah.Baby pun senang nak kita jaga. Satu lagi..nasihat dan petua orang-orang tua jangan kita abaikan.yang ada logiknya..elokla kita pegang..selagi tak memudaratkan.Semua tu utk kebaikan kita juga.Untuk kerukunan rumah tangga.Kalau kita tak jaga body sendiri..sapa mau jaga beb...Sesilap suami tau komen ja..So..sesamala kita menjaga apa yg boleh.Kepada suami-suami pula..kalau nak tengok isteri tetap mengancam dan cun..jangan kedekut kuarkan modal ya..Hasilnya..sendiri yg rasa juga.

Tuesday, January 11, 2011

Bersalin Normal vs Caserean


New Born Baby


Hemmm...meh aku nak cita pengalaman aku bersalin normal berbanding caserean yang telah aku lalui. Semasa melahirkan anak sulung, Danish..aku memilih untuk dibedah setelah dicadangkan oleh doktor.Sebab utama aku memilih pembedahan adalah semasa scan dijalankan..didapati saiz Danish agak besar. Anggarannya sekitar 4KG. Lagipun kedudukan Danish terlalu jauh dari pintu rahim. Maknanya..mungkin agak sukar untuk kelahiran normal. Jadi..pada tarikh yg ditetapkan..iaitu pada 09/09/04..aku pun dibedah. Tetapi ada sedikit kejadian yg berlaku di dlm dewan bedah..sampai bila-bila pun aku tak akan lupakan apa yg terjadi. Alhamdulillah..semua selamat.Disebabkan aku dibius sepenuhnya..maka tak dapatla aku mendengar tangisan pertama Danish. Aku hanya dapat melihatnya di wad bersalin.Berat Danish semasa lahir 3.6KG. Semasa di dalam Wad..ada juga peristiwa sedih yg berlaku.Membuat aku menangis dan menangis.Kesannya, aku amat takut untuk bersalin di hospital kerajaan. Dari segi penjagaan di dalam pantang pula..memang agak sukar.Tak boleh mandi untuk beberapa harii..sebab takut luka terkena air..nak bergerak,nak batuk,bersin..semuanya kena control. Banyak juga makanan yg tak boleh di makan.Takut luka pembedahan bernanah dan gatal. Lepastu..nak pakai barut pun rasa tak selesa..kat tempat bedah terasa ngilu.Pendek kata..aku tak rasa dan tak tahu bagaimana rasa sakit utk bersalin..tetapi sakit selepas bersalin yang menjadi masalah pula.

Untuk anak ke2 ini..dari awal mengandung lagi aku dah berdoa..biarla kali ini aku bersalin normal..aku ingin merasa sakit yg ibuku rasa ketika melahirkan aku. Setelah berbincang dengan doktor..maka aku membuat keputusan nekad..aku akan cuba bersalin secara normal. Semasa scan di jalankan..anggaran saiz baby kedua..Firas, adalah sekitar 3.4KG. Doktor cadangkan aku bersalin pada tarikh jangkaan..tak perlula menunggu sehingga aku sakit. Jika aku menunggu sehingga aku sakit secara semula jadi..saiz bayi akan bertambah besar, mungkin agak sukar untuk aku melalui proses kelahiran.

Maka pada 10/11/10..jam 9.00 pagi..
Aku sampai kat Putra Medical Center Alor Setar..menyerah diri pada doktor. Time ni jgn cakapla..memang aku gabra..risau..semua ada.Tapi tak tunjuk muka gabra tu.

10.00 pg..
Doktor muncul di bilik aku...alamak..cam nak lari pun ada time ni. Dalam kepala otak aku ...terbayang kesakitan yg bakal aku alami..maklumla..kata orang..sakit bersalin secara induce ni lebih dasyat dari sakit secara normal.Fuh..aku dah mula tak tahu time ni..nak senyum ker..nak seriuse ker..buat muka blur je la.Jadi..lepas doc cakap apa dia nak buat..aku pun mengganguk jer..so..ubat pun dimasukkan sebijik. Lepastu..aku relaks..tengok Tv.danish dah mula bising..dia asyik tanya, "bila ibu nak beranak ni? Adik dah bosan ni.."

1.00tgh...
Hemmm...aku dah pelik..kenapa aku tak sakit pun.tak rasa apapun.kata orang sakit sangat.

4.00 ptg....
Aku masih ok...maintain beb.Lepak atas katil..tengok TV.Oder Teh Ais dari Encik Haffiz..maklumla..pas beranak tak leh minum ais kan.Sebelum bertolak ke hospital tadi..aku dah makan bihun goreng masakan mak aku.Oder khas lagi..tetiba, Nurse masuk tanya.. " aik..adik tak sakit ker? relaks ja ". Hehehe..sengeh panjang ja aku...kemudian nurse sambung... " jap gi. dalam pukul 5 lebih..doktor akan masuk tengok ".Alamak..bila dia sebut doktor ja..hilang keceriaan aku.

5.30 ptg......
Aduhai..doktor dah masuk...dia cek...baru terbuka 1cm. Hem..patutla aku tak rasa apapun. So..doc cakap.."saya masukkan sebiji lagi key .Kalau tak sakit juga..kita bedah la ".Haa..part ni yg tak sedap di dengar ni..Lepas doc masukkan ubat dia pun berpesan..kalau rasa sakit lepas ni..bagitahu pada nurse..leh masuk ke labor room ya .Makin susah hati aku bila mendengar pesanan doktor nih.Tapi doktor tetap senyum. Aku dah memang semakin lupa nak senyum cam mana.Gamaknya muka aku time ni dah mula kering darah.

6.30 ptg...
Adeh..dah rasa senak -senak la. Tapi..cerita peberet aku dah nak mula. CHINTA akan bersiaran. Jadi..aku kuatkan semangat..walau sakit macam mana pun..aku akan bertahan selagi drama CHINTA tak abis. Rasa sakit dah semakin kerap..rasa nak buag air besar..nak buang air kecik..semua ada.Rasa macam nak cirit birit pun ada.Memulas macam nak terciriet atas katil tu ja. TETAPI !!! teTapi..lain sikit..tahla..sakit yg macam mana.Walaupun aku mula gelisah kat atas katil tu..mata aku tak lepas dari skrin TV. Sabarrr...

7.30 mlm......
Haa....dah tak leh jadik ni. Aku dah tak tahu nak duduk macam mana. Duduk tak kena, berdiri pun tak kena..tidur pun tak kena jugak.. haishh...Jadi..atas saranan mak aku..en hafiz pun gi panggil Nurse.Maka aku pun dengan rela hati duduk kat atas kerusi roda tu..rela ditolak ke labor room.Masa nak bangun utk ke katil yg di sediakan tuh..boleh pulak kontraksi berlaku time tu jugak, nasib nurse sempat pegang aku..kalau tak, mau aku tergoleh kat atas lantai tu.. Sakitnyerr....Doktor masuk chek..baru 3 cm. Alahai..lambat lagi la cam ni..

8.30 mlm....
Doktor masuk check lagi.Pintu rahim masih 3cm. Alamak..kenapa lambat sangat ni. Sakit semakin menjadi jadi.Tapi kali ni doktor pecahkan air ketuban. Doktor bagi tempoh pada aku sehingga jam 11.00mlm..sekiranya bukaan rahim masih kekal pada 3cm..pembedahan terpaksa dijalankan. Water drip juga dimasukkan. Bila dengar ja doc cakap camtu..rasa frust pula.Aku berharap sangat dapat bersalin secara normal.Selepas air ketuban dipecahkan..kesakitan yg aku rasa semakin perit.Terasa seolah-olah baby akan terjah keluar melalui perutku atau pusat aku .Semua doa yg aku ingat aku baca. Nasibla besi katil tu kuat.. Suami aku dah tahap lebam bila aku genggam lenggannya.

9.30 mlm .....
Dalam hati aku ketika ini puas berdoa.Kesakitan yg kurasai membuatkan aku tertunggu-tunggu kedatangan doktor. Tika ini jika doktor masuk dan pintu rahim masih pada 3cm..aku nak minta terus dibedah. Kesakitan yg aku rasa membuatkan aku mengambil keputusan drastik macam tu.Tak perlu la menunggu sehingga jam 11mlm. Padahal dari awal mengandung hingga jam 8.30 mlm tadi beria kemain nak bersalin secata normal. Tetiba ja bleh ubah keputusan...Jadi aku asyik bertanya pada suami.."pukul berapa dah abang?".

10.40 mlm .. 
Doktor dah sampai.lega hati aku bila nampak muka doktor.Walaupun nurse ada ..tapi doktor yg akan bagi keputusan. Apabila doktor cek..pintu rahim dah terbuka 7cm. Woo..patutla aku sakit sangat.Jadi..aku terus batalkan niat nak minta bedah.Sebaliknya rasa bersyukur sebab aku berpeluang melahirkan secara normal. Namun pada saat ini..baby aku kembali menjauhi pintu rahim. Sedangkan pada awalnya..kedudukan dia dah ok.Entahla cam mana boleh jadik camtu.Maka atas nasihat nurse yg paling senior kat situ..aku pun meneran apabila terasa sakit.Hal ini utk bagi baby turun balik.

11.00 +/- ....
aku dah tak tahu pukul berapa ( padahal jam dinding besar gedabak tergantung sebelah aku )..doktor masuk cek ..haa..dah 9cm. Aku pula semakin letih meneran. Aku juga dah mula rasa mengantuk.Atas dorongan doktor, nurse dan suami (yg meniru arahan doktor )..serta penggunaan vacum..akhirnya aku berjaya mendengar tangisan baby.Tiba-tiba segala kesakitan yg aku tanggung tadi hilang.Seolah-olah aku tak pernah merasai sebarang kesakitan pun. Terasa damainya saat itu apabila doktor mengalunkan azan sambil memotong tali pusat bayi.Terasa cukup besryukur kerana semuanya selamat dan diberi keizinan olehNya untuk melahirkan secara normal. Berat Baby masa lahir 3.2 KG jam 11.36 mlm pada 10.11.10 diberi nama Muhammad Izz Firas Bin Haffiz.

setelah semuanya selesai..doktor datang dan memberi penerangan mengenai luka yg ku alami.Namun aku terasa berada diawangan..apa yg aku ingat..aku bagitahu doktor aku dah mengantuk..dan nak tidur..aku tak larat nak dengar dia cakap. Tak tahu lah apalagi yg aku cakap.Sebabnya aku memang benar-benar khayal. Nurse dah masukan ubat di dalam water drip agar aku dapat tidur.Ayat terakhir yg aku dengar doktor cakap "ok..ok..tidurlah"...Hahahahahha.....

Sebenarnya dalam tempoh aku menanggung kesakitan itu..ada juga yg menghiburkan aku. En.Haffiz..asyik berulang ke tandas berulang kali.Aku tak tahu berapa kali dia keluar masuk.setiap kali dia keluar..pasti ibuku akan masuk utk menggantikan tempatnya.Sehinggakan ibu ku bertanya.."ni sapa yang nak beranak ni?" hehehhe...sian dia.Nasib ketika baby keluar dia dah dapat bertahan di situ.Memberi dorongan padaku walaupun sebenarnya dia hanya meniru kata-kata doktor dan nurse.Walaupun aku sedang sakit..namun aku tetap dapat mendengar ayat yg keluar dari mulutnya, sebijik tiru doktor. Apapun abang..terima kasih atas segalanya.Terasa diri dihargai bila yg tersayang setia menanti dan sedia membantu sehingga habis tempoh berpantang.
Alhamdulillah..




Monday, January 10, 2011

ALHAMDULILLAH...

Abang danish dah tak sabar nak jumpa Baby..

haa...masa ni bersedia nak menyerah diri kepada doktor..sihatnya ibu.


Syukur pada Ilahi..segalanya selamat walaupun pada saat-saat kelahiran yang semakin dekat kami dihantui oleh bencana banjir.Hari ini 10/01/2011 hari pertama aku kembali ke pejabat.Biarpun setelah dua bulan berlalu..namun detik-detik cemas,risau dan mengembirakan tetap tersemat kukuh di hatiku. Kelahiran Muhammad Izz Firas memang amat dinantikan oleh kami sekeluarga.Maklumlah..Danish dah pun berusia 6 tahun..jadi kelahiran Firas seolah-olah kelahiran pertama.

Paling mengembirakan aku adalah doa aku dimakbulkan..biarpun pada saat-saat akhir aku seolah-olah akan dibedah jua. Namun berkat doa dari ibu,suami dan keluarga..semuanya selamat.Memang amat berbeza kelahiran normal dan Caserean.

Ketika menghampiri tarikh 10/11/10..perlis dan kedah masih digenangi air.Jalan untuk ke negeri kedah juga terputus. Aku dan suami mula gelisah..risau sekiranya aku sakit dan kami tidak dapat ke hospital. Namun syukur..pada 10/11/10..air telah mulai surut.Jalan utama ke kedah boleh dilalui semula. Jadi pada 10/11/10...aku pun dengan rela hati pergi menyerah diri pada Doktor.Perasaan masa tu..tak tahu nak cakap..gembira sebab nak jumpa Baby..takut sebab aku akn cuba bersalin secara normal dengan kaedah memasukkan ubat pencetus kesakitan.

Aku melalui tempoh melahirkan yang agak panjang.Aku masuk labor room jam 7.30mlm..kul 11.36 mlm baru selamat semuanya.Memang penat dan menyakitkan..tapi apabila mendengar tangisan pertama baby..segalanya berubah.Tiada lagi kesakitan..hanya rasa kesyukuran yg bersemi di hati.




Nufnang